KEBAJIKAN SOSIAL DALAM KONSEP 1 MALAYSIA

Tuesday, September 1, 2009

Kebajikan sosial adalah elemen penting dalam menentukan keharmonian kehidupan masyarakat kerana merupakan inti kepada konsep pembangunan sosial masyarakat negara dan menyediakan rakyat dengan keadaan persekitaran yang selamat, kepuasan menyeluruh terhadap penyediaan keperluan asas dan memaksimumkan peluang mobiliti. Dengan itu, masyarakat bebas untuk membangunkan potensi diri, terlibat secara aktif dalam aktiviti yang dilaksanakan dan seterusnya dapat menyumbang kepada masyarakat. Menurut Friedlander (1961), Kebajikan sosial dilihat sebagai satu sistem kegiatan yang teratur bagi pelbagai perkhidmatan sosial yang tujuannya untuk membantu individu dan kelompok mencapai kualiti hidup yang lebih memuaskan.

Konsep Satu Malaysia yang dikemukakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menimbulkan semangat baru kepada banyak pihak di Malaysia terutama mereka yang berada dalam arus perdana. Bertemakan “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan merupakan satu gagasan bagi memupuk perpaduan di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, berteraskan beberapa nilai-nilai penting yang seharusnya menjadi amalan setiap rakyat Malaysia. Ia bukan satu pendekatan yang terpisah dari dasar-dasar Kerajaan sebelum ini, sebaliknya ia merupakan pelengkap kepada pendekatan-pendekatan yang sedia ada untuk mengukuhkan lagi perpaduan bagi menjamin kestabilan, ke arah mencapai kemajuan dan pembangunan yang lebih tinggi bagi rakyat dan negara Malaysia. Kasih sayang, bantu membantu dan silaturrahim adalah asas penting dalam keadilan sosial. Keadilan sosial ditakrifkan sebagai kerjasama untuk mewujudkan masyarakat yang bersatu padu, setiap anggota masyarakat mempunyai kesempatan dan peluang yang sama untuk berkembang sesuai dengan kemampuan masing-masing. Prinsip ini mengatakan semua rakyat Malaysia akan terbela dan tiada mana-mana pihak akan dipinggirkan. Keadilan ini mestilah mengambil kira taraf kemajuan kaum-kaum yang berada pada tahap yang berbeza. Oleh itu, dasar-dasar kerajaan dan peruntukan-peruntukan Perlembagaan yang memberikan pembelaan kepada golongan yang memerlukannya, akan tetap dilaksanakan. Oleh itu, aktiviti sosial adalah aspek yang penting dalam hidup bermasyarakat dan semangat kerjasama merupakan amalan yang perlu dipupuk supaya ia berkembang dalam masyarakat.

Dalam masyarakat Malaysia sekarang, kita dapati kerja-kerja amal kurang diberi tumpuan oleh masyarakat sama ada di peringkat individu ataupun organisasi. masyarakat perlu memandang serius peranan ini dan tidak hanya mengharapkan bantuan Kerajaan semata. Masyarakat bandar khususnya harus segera bertindak dengan mengambil tindakan segera setelah mengenal pasti golongan yang memerlukan bantuan.

Kesimpulannya, keseluruhan struktur masyarakat Malaysia yang wujud pada hari ini telah dibangun dan dibentuk melalui falsafah Rukun Negara dan dasar-dasar negara di mana ia telah benar-benar menyumbang kepada peningkatan toleransi, keamanan dan keharmonian negara. alhamdulillah, usaha-usaha ini khususnya selepas tragedi 13 Mei 1969 ternyata berjaya mencapai objektif dan matlamat perpaduan dan intergrasi nasional.