CABARAN KEBAJIKAN SOSIAL HARI INI DAN MASA DEPAN

Wednesday, October 21, 2009


Menurut United Nation, Kebajikan sosial dilihat sebagai satu keadaan yang sejahtera yang mencakupi aspek fizikal, mental dan sosial. Beberapa gerakan pemikiran dalam bidang kebajikan sosial telah mengembangkan pengertian kebajikan sosial dan cuba mengaitkannya dengan pembangunan sosial. Skidmore (1971) telah mendefinisikan kebajikan sosial sebagai satu usaha untuk merubah atau meningkatkan keadaan yang sejahtera, baik dari segi fizikal, mental dan sosial.

Masyarakat kian menjadi rumit akibat perubahan sosial yang semakin pesat. Keadaan ini telah mengakibatkan tekanan hidup bagi individu, keluarga, kelompok dan komuniti dalam menghadapi berbagai-bagai masalah sosial. Masalah sosial pula kian mendesak sehingga boleh mengganggu kesejahteraan negara. Ianya jelas semakin bertambah dengan meningkatnya kadar penjenayahan, pelacuran, penderaan kanak-kanak, keciciran dalam pendidikan dan keganasan dalam institusi keluarga, perceraian, pengangguran, pelarian kanak-kanak, penganiayaan terhadap orang tua, penyalahgunaan najis dadah, belia berpeleseran dan banyak lagi masalah sosial di zaman serba moden ini.

Untuk mengatasi masalah ini, maka nilai keinsafan dan tahap kemampuan golongan tersebut perlu dipertingkatkan supaya mempunyai keupayaan menghadapi cabaran semasa. Jika tidak dibendung besar kemungkinan ianya akan tercetus menjadi wabak yang sukar dikawal kelak serta menjejaskan kesan baik yang sekian lama dilaksanakan oleh negara kita. Pendekatan serta peranan yang bercorak rawatan pemulihan tidak mencukupi dan harus juga merangkumi segala aspek pencegahan dan pembangunan.

Ketepatan pendekatan dan segala arah yang jelas perlu diutarakan dengan penggubalan Dasar Kebajikan Masyarakat Negara di mana ianya bertujuan untuk menggalakkan kesejahteraan rakyat serta kestabilan masyarakat menuju ke arah keadilan sosial dengan membangunkan potensi manusia ke tahap optimum serta meningkatkan daya ketahanan masyarakat untuk menghadapi cabaran kemasyarakatan semasa. Selain itu, ianya mewujudkan berbagai-bagai kemudahan supaya dapat meningkatkan tahap keupayaan untuk kemajuan diri individu dan kelompok dan dapat membina dan memupuk semangat tolong menolong, bantu membantu untuk mengukuhkan budaya ikram.

Dasar Kebajikan Masyarakat Negara akan memberi keutamaan dalam kemajuan negara dan menjamin kesejahteraan rakyat dengan berusaha bahawa proses pembangunan diarahkan untuk tujuan mempertingkatkan potensi semua golongan masyarakat serta perhatian khusus diberikan untuk meningkatkan penyamaan peluang ke arah hidup yang lebih bermakna dalam arus pembangunan negara.

Dasar Sosial Negara: Laman Web Rasmi Jabatan Kebajikan Masyarakat


0 helpmate:

Post a Comment