Tidak ada seorang pun di kalangan kita yang sukakan masalah. Namun, masalah yang timbul bukan atas kehendaknya sendiri. Kadangkala disebabkan oleh faktor persekitaran yang menyebabkan kita terpaksa berdepan dengan masalah. Manusia sendiri yang mencipta masalah. Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan individu bermasalah. Antaranya ialah dari faktor sosialisasi yang melibatkan proses kekeluargaan. Ibu bapa perlu memainkan peranan penting dalam membesarkan anak mereka dan kasih sayang merupakan tunggak utama dalam hubungan sesebuah keluarga. Kurangnya kasih sayang dan perhatian menyebabkan konflik dalam diri anak yang akhirnya menimbulkan masalah dalam diri. Anak-anak, khasnya remaja pada abad ke-21 ini terdedah dengan pelbagai bentuk pengaruh. Dalam dunia yang disebut sebagai"borderless world" ini banyak menyuntik unsur-unsur yang positif mahu pun yang negatif. Anak-anak lebih mudah tertawan dengan program yang membunuh sahsiah berbanding program yang menghidupkan peribadinya (Hassan Mohd Ali,1977).
Secara tidak langsung, ini memberi tamparan yang hebat kepada ibu bapa. Ibu bapa harus dapat membimbing individu mengenali diri sendiri sebagai insan dalam alam sosial. Masalah berkaitan sosial remaja banyak berpunca daripada hubungan antara ibu bapa dengan remaja itu sendiri. Sejumlah besar remaja menyalahkan ibu bapa. Sebagaimana petikan akhbar berjudul "Ayah Sibuk, Remaja Liar" Harian Metro, 1 Ogos 2001, "Keluarga Terbiar, Remaja Jadi Liar" Harian Metro, 6 September 2001 dan "Jenayah Rogol Juvana Salah Siapa?" Utusan Malaysia, 23 Julai 2001. Kesibukan urusan kerja menyebabkan kekurangan agihan masa. Kasih sayang yang mereka harapkan diganti dengan kemewahan dan wang ringgit. Ibu bapa pula menafikan kenyataan ini dan menyalahkan pihak lain sama ada disebabkan faktor ego dengan kedudukan mereka atau persepsi mereka terhadap golongan remaja yang dikatogerikan sebagai golongan yang masih mentah. Bagaimanapun tugas tersebut nampaknya telah diserahkan bulat-bulat kepada pembantu rumah atau pihak sekolah. Dengan berbuat demikian mereka berharap akhlak, personaliti dan kendiri anak mereka dapat dibentuk sebaik mungkin. Akibatnya, mereka mengundang gejala sosial di kalangan remaja.
Sosialisasi merupakan suatu proses mempelajari peranan, status dan nilai yang perlu ada dalam institusi sosial. Proses pembelajaran sepanjang hayat berlaku dalam institusi sosial. Pemindahan norma dan nilai dalam keluarga serta budaya setempat sesuatu masyarakat kepada kanak-kanak. Apa yang dipelajari oleh kanak-kanak akan membentuk konsep diri pada individu. Oleh itu, kelompok primer iaitu keluarga merupakan kelompok yang paling berpengaruh dan pentingnya fungsi kekeluargaan adalah sejak mula anak itu dilahirkan. Anak-anak mula belajar dari kedua ibu bapa mereka yang memberi 'quality time' kepada anak-anak mereka dapat menanamkan minat dan bertindak balas dengan memberikan didikan dan peluang yang berpatutan. Setiap individu yang dilahirkan mempunyai potensi untuk berkembang ke arah kecemerlangan. Bagi memastikan potensi ini berkembang ke arah yang positif, ibu bapalah yang memainkan peranan penting untuk membantu anak-anak ini mencapai keunggulan peribadi. Anak-anak beruntung jika dilahirkan oleh orang tua yang penuh kasih sayang, perhatian dan pengertian dan memiliki kesempatan terbaik untuk mengembangkan fikiran mereka dengan penuh kegembiraan dan kejayaan. Namun ada sesetengah ibu bapa tidak memainkan peranan dengan berkesan dalam usaha menyalurkan bantuan yang amat diperlukan oleh anak-anak mereka disebabkan kesibukan tugas atau tidak mempunyai pengetahuan untuk membantu anak remaja. Mereka tidak lagi prihatin tentang perkembangan anak-anak di sekolah, tidak mengetahui siapakah rakan-rakan anak mereka dan tidak menghiraukan bagaimana masa lapang mereka dihabiskan. Masa yang diluangkan untuk sama-sama menjalankan aktiviti bersama anak-anak adalah sangat terhad apatah lagi berkomunikasi terutama dengan anak remaja berhubung dengan kegiatan harian (Laurance Steinberg 1996). Kenyataan ini sedikit sebanyak mengambarkan bahawa ibu bapa pada era ini gagal melaksanakan tugas dan tanggungjawab. Maka itu kegagalan ibu bapa memberi pendidikan pada peringkat permulaan akan membawa kepada suatu petanda yang buruk terhadap disiplin anak-anak(Asmawati,1996).
Dalam kehidupan manusia memerlukan banyak perkara seperti kekayaan, kesenangan, kejayaan, kuasa atau hanya setakat rumah yang selesa dan sedikit keamanan dan ketenteraman. Walaubagaimanapun kualiti norma hidup yang rendah mendorong kepada berlakunya jenayah dalam masyarakat. Justeru itu institusi keluarga memainkan peranan yang lebih penting sebelum kita mengkaji dari aspek yang lebih luas seperti institusi pendidikan atau masyarakat. Masalah ini dapat diselesaikan seandainya ibu bapa memberikan perhatian rapi kepada anak-anak sejak mereka kecil dan sentiasa sedia berkongsi masalah dengan mereka. Ibu bapa seharusnya menjadi kawan kepada anak mereka sendiri di samping menimbulkan persekitaran kekeluargaan dan teknik keibubapaan yang sihat serta cemerlang. Kekeliruan perasaan, tidak dihargai dan terasing dalam keluarga sendiri lantaran kesibukan ibu bapa antara punca lain mendorong remaja melakukan kegiatan jenayah. Dalam masa yang sama ibu bapa harus bersikap tegas dalam mendidik anak-anak. Komunikasi dua hala yang sihat akan membantu anak meluahkan masalah mereka. Ibu bapa perlu belajar menyelami dan memenangi jiwa anak supaya anak remaja yang biasanya bersikap egosentrik dapat dilembutkan. Ibu bapa perlu menjadi model terbaik kepada anak-anak.
Fasilitator efektif & dinamik: By Mohd Aziz Shah Mohd Arip, Nazariah Abdul Samad
0 helpmate:
Post a Comment